Kembara 12 tahun memburu cita-cita

Posted in Sembang KomikCafe on July 30th, 2009 by webmaster

[Petikan ini sebenarnya dah lama aku tulis di suatu blog dulu dan juga telah diarkibkan di dalam pekomik.com sengaja dicopy paste untuk diarkibkan pula di sini.]

Selamat tinggal Kuala Lumpur – terima kasih kawan-kawan atas suka dan duka selama 12 tahun.

Sekadar mengungkap seperenggan impian dan kenangan…

Dikesempatan ni, aku nak ucapkan selamat tinggal kepada ibukota yang menjanjikan seribu impian bak lirik M.Nasir dalam lagunya, walaupun aku bukanlah peminatnya yang setia. Kekadang liriknya itu sememangnya rapat lagi erat dengan realiti kehidupan masyarakat. Itulah hakikat.

12 tahun mencipta cita-cita
Aku rasa aku dah cukup berdikari, insyaallah semoga aku dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan duniawi untuk meneruskan kehidupan yang maha mencabar ini. Mungkin ada di antara kalian yang merasakan akan kehilangan setelah aku mengisi kekosongan sebagai nakhoda, tapi ada perkara yang lebih penting perlu aku lindungi untuk masakini dan masa depan sebab hidup itu sangat mencabar malah tidak boleh di duga oleh akal manusia yang sudah pasti ada had dan batas untuk di ramal. Lalu, aku mengambil langkah selamat sebagai pilihan.

Dalam diam 12 tahun sudah aku hidup di Kuala Lumpur yang penuh dengan kecantikan seindah warna pelangi tak kurang juga seburuk, sejijik bak sebatang longkang yang kotor penuh dengan sisa sampah sarap dan najis. Begitu juga realiti masyarakat yang ada di dalam kota ini. Penuh dengan janji manis dan tak kurang juga penipuan dan lakonan semata-mata. Telah pelbagai ragam dan karenah manusia yang aku kenali dari sedaif manusia hingga yang berada. Tak dinafikan, KL menjanjikan seribu satu macam peluang pekerjaan termasuklah bidang lukisan yang aku idamkan sejak dibangku sekolah lagi.

Apa cita-cita aku?
Sudah tentunya ingin menjadi seorang pelukis komik. Dan jawapan inilah yang aku beri kepada isteriku di awal-awal perkenalan kami. Kini, memang aku seorang pelukis komik, sama ada berjaya atau tidak. Aku tetap berusaha. Semoga berjaya, walaupun rintangan yang datang terlalu hebat.

[Sebelum cita-cita aku menjadi realiti, keje pertama aku di Kuala Lumpur bersama produksi siri animasi pertama Malaysia, Usop Sontorian. nak tau lebih lanjut pasal Usop Sontorian, yang sudah di anggap sebagai lagenda] http://ameirhamzahhashim.blogspot.com/2007/02/lagenda-usop-sontorian.html

Tidak mudah untuk menjadi pelukis komik. Pengalaman pertama artwork direject memang memilukan. Tapi takpe, tu semua telah membuatkan aku untuk berubah lebih maju. Sanggup menerima teguran, kritikan dan pandangan tak kurang juga ego perlu diketepikan. Sifat ingin belajar wajib ada dalam diri individu jika ingin berjaya. Sanggup bermula dari bawah adalah langkah yang paling wajar.

Kenapa aku memilih komik sebagai kerjaya?
Seingat aku mula mengenal komik se awal 86 atau 87. ketika itu di kampung datang seorang Benggali menjual kacang putih dan adela jajan yang lain. Dalam banyak-banyak jajan yang dia jual ada 1 bungkusan plastik hitam dan di dalamnya adalah komik. Dari situlah aku mula mengenal komik walaupun ketika itu sudah ade majalah seperti Gila-Gila, Bujal, Batuapi dan sebagainya tetapi komik-komik ini adalah amat berbeza. Ketika itu contentnya yang bebas. Amat sukar untuk mengikuti siri sekiranya komik-komik ini mempunyai siri, sebab ianya di jual dengan di balut plastik hitam. Camne nak nampak?

Mulahlah era aku meminati komik. Dalam masa yang sama aku memang suka menonton siri animasi tiap-tiap petang lagi menambah minat aku untuk melukis. Aku mula melukis, tak kira masa, tempat. Sejak aku di sekolah rendah lagi aku dah pun mula melukis komik. Sama ada menggunakan kertas A4 atau kertas lukisan aku jadikan buku dan setiap mukasuratnya akan jadi helaian komik. Kalau sekarang ni orang lebih mengenalinya sebagai zine. Tapi zaman aku time tu apela sangat. Jauh sekali nak tau ape itu zine.

Apa yang mendorong aku untuk melukis komik?
Mungkin aku mula mengenali dan membesar dengan komik-komik yang berteraskan konteks Malaysia, maka aku terdorong untuk melahirkan komik yang bertemakan Malaysia. Langkah pertama aku melukis komik Alyridura yang bertemakan tradisi alam Melayu di mana zaman orang bangga memakai tengkolok, keris dan sampin sebagai lambang budaya dan Raja sebagai pemerintah yang berdaulat. Melahirkan komik sebegini di dalam era peminat komik ke arah Manga adalah sukar, tetapi ternyata ada segelintir yang masih mahu menerima, menghargai tak kurang juga ingin memartabatkan tema sebegini.

Alhamdulillah, hasil usaha aku selama ini bertahun-tahun dalam menyelidik dan mengulangkaji tidaklah sia-sia. Sebenarnya kita sebagai komik artis mahupun pengkarya boleh menghasilkan konteks atau tema seumpama ini sesungguhnya ada permintaan di kalangan pembaca.

Atas faktor inilah aku sukarela untuk menjadi penyumbang konteks KeMalaysiaan atau kemelayuan sebagai subjek persembahan aku melalui komik. Bukanlah aku ingin digelar sebagai ikon, dewa atau mahaguru sebagai gelaran, tetapi inilah jasa yang aku ingin bina untuk anak bangsa dan tanahair melalui komik. Usaha kerdil aku ini, janganlah di anggap besar dan tinggi sedangkan ada orang yang telah menyumbangkan tenaga, usaha dan jasa yang jauh lebih baik dari aku. Semoga langkah aku ini dapat menyemarakan dunia komik di Malaysia dan akan melahirkan bakat-bakat baru yang sama-sama berjuang untuk menghasilkan komik bertemakan Malaysia.

Terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana memberi laluan dan peluang untuk aku sama-sama terlibat dalam menjayakan komik bertemakan Hikayat-hikayat Melayu terbitan mereka. Alhamdulillah, walaupun cabarannya amat getir kerana ianya diusahakan di waktu malam di mana manusia sedang di ulit mimpi, bersulamkan selimut dan berbantal di atas tilam yang empuk barangkali, memang sesuatu yang sukar utuk aku hadapi.

Semua itu bukanlah keluhan, tetapi itulah cabaran. Aku, sanggup malah menyahut cabaran itu untuk menjayakan misi yang telah aku pilih selama ini. Ramai orang telah berjaya dan laluannya bukanlah mudah, moga-moga aku juga melalui liku-liku sepertimana mereka, insyaallah.

Meninggalkan kota Kuala Lumpur, bukanlah aku menutup masa depan aku sebagai pelukis komik. Ia membuka pintu kebebasan untuk aku terus berkarya dengan lebih aman, insyaallah. Banyak idea, tak kurang juga banyak watak yang perlu di bina dan cerita yang ingin dijayakan. Setakat ini, komik Fetus in Fetu akan terus aku usahakan sehingga episod yang terakhir. 12 siri kesemuanya, insyaallah akan siap dalam beberapa bulan dari sekarang. Siri komik Baran di dalam akhbar Utusan Malaysia setiap Sabtu di sisipan Sigap insyaallah masih diteruskan. Tunggu akan lahirnya jilid pertama Hikayat Raja Shah Mardan. Di jangka siap sebelum akhir tahun ini dan tarikh terbitannya tertakluk pada pengurusan DBP. Selepas ini beberapa tajuk lama dan baru akan diusahakan. Semoga dengan izin Allah, berkat restu keluarga dan doa kawan-kawan sekalian akan aku usahakan sebaik mungkin.

Akhir kata, semoga kawan-kawan aku di luar sana terus berusaha dan maju dalam membina kerjaya masing-masing. Mungkin impian kita berbeza tapi mungkin juga matlamat kita sama. Teruskan berjuang, walaupun ada sebahagian kalian tidak bersama aku, janganlah berputus asa. Binalah masa depan kerana cita-cita itu di bina atas kehendak diri sendiri.

Selamat tinggal Kuala Lumpur, selamat tinggal kawan-kawan seperjuangan. Ada umur panjang, murah rezeki semoga kita berjumpa lagi. Genap sudah 12 tahun aku mengembara membina cita-cita. Aku melangkah pergi bukanlah mengalah tetapi mencari kebebasan untuk berkarya.

Sampaikan salam aku kepada mereka yang mengenali aku selama ini.

Tags: ,

Bendahara Nadi Pemerintahan Kesultanan Melayu

Posted in komik Pusaka Angkasa on July 28th, 2009 by webmaster
Bendahara yang juga Perdana Menteri sentiasa di samping Sultan dalam membentuk haluan pemerintahan

Bendahara yang juga Perdana Menteri sentiasa di samping Sultan dalam membentuk haluan pemerintahan

Bendahara merupakan satu jawatan tertinggi dalam pemerintahan Kesultanan Melayu yang Berdaulat. Bendahara yang juga dikenali sebagai Perdana Menteri memainkan peranan yang sangat penting selaku penasihat kepada Sultan. Bendahara juga digambarkan seorang yang berjiwa mulia, berbudi bahasa, taat, serta bijaksana. Kebijaksanaan yang ada pada seseorang Bendahara ini banyak diterjemahkan diarkibkan di dalam himpunan sejarah secara lisan dan tulisan.

Di dalam komik Pusaka Angkasa ini tidak ketinggalan juga memapar dan menonjolkan watak Bendahara sepertimana yang telah dinyatakan tadi. Di dalam ruang yang terhad penulis/pelukis menterjemahkan sebaik mungkin. Apakah yang menarik tentang perwatakan seorang Bendahara ini sehinggakan seorang Sultan yang lazimnya bangga dengan gelaran ‘Yang Maha Mulia’ akur dan mengiyakan semua pendapat yang diutarakannya?

Dengan berwajahkan seorang yang berumur, bermisai, wajah yang tenang dan tinggi bahasanya membuatkan segala hujah dan kelakuannya disegani oleh semua pihak. Sifat kebijaksanaan terpancar diwajahnya sekaligus menyerlahkan kharisma seorang pemimpin kanan di istana.

Pemimpin yang berkharisma seperti Bendahara adalah mutiara di dalam pemerintahan BeRaja.

Pemimpin yang berkharisma seperti Bendahara adalah mutiara di dalam pemerintahan BerRaja.

Fiksyen di dalam Pusaka Angkasa ini lebih dekat dengan dunia moden di mana ia disampaikan dengan lebih santai dan bersahaja. Ia dapat di lihat dengan jelas pada setiap watak dan gaya bahasa yang digunapakai, tidak terlalu klasik dan tidak juga terlalu moden. Bendahara yang berkaca mata telah menarik perhatian para pembaca dalam mengkritik karya ini. Beberapa elemen lain direalisasikan lebih tampak moden di mana pelukis sengaja mewujudkan binaan yang jauh lebih moden, istana konkrit, lampu jalan, dan juga perayaan bunga api yang tidak wujud sama sekali di era zaman pemerintahan Melayu Lama. Ini adalah bertujuan hanya sekadar fiksyen yang menghiburkan. Tidak lebih daripada itu jauh sekali untuk menyimpang apa yang terlah tersurat di kamus sejarah peradaban Melayu.

Tags: , , ,

Pusaka Angkasa sebuah epik fantasi

Posted in komik Pusaka Angkasa on July 24th, 2009 by webmaster
komik Pusaka Angkasa sebuah epik fantasi

komik Pusaka Angkasa diterbitkan 5 hari seminggu di akhbar Komso!

Lambakan bahan bacaan di dalam pasaran dengan pelbagai seribu satu macam jenis genre dan had umur telah membuka ruang dan buah fikiran untuk para penulis di dalam negara untuk merekacipta sesuatu yang baru. Dengan gabungan bahan sedia ada dan saduran dari luar maka terciptalah idea baru. Begitu juga impaknya kepada siri komik Pusaka Angkasa ini. Sekiranya minda kita selama ini jika sebuah epik cereka melayu pastinya terikat dengan adat resam dan protokol yang mengongkong minda orang-orang melayu untuk berkarya dengan lebih luas lagi.

Penulis dan pelukis komik ini ingin mengorak langkah untuk memfantasikan epik melayu di luar kepompong walaupun ianya rekaan semata-mata. Apa faedahnya epik seperti ini difantasikan? Jawapannya mudah, ianya sebuah fisyen khas untuk bahan hiburan semata-mata, alternatif sumber bacaan untuk generasi muda. Ah, Naruto boleh!…

Tags: , , ,

Kisah Seram Dalam Budaya Melayu part 01

Posted in komik Baran on July 23rd, 2009 by webmaster
siri kisah seram tidak sepatutnya bermesejkan takut semata-mata.

siri kisah seram tidak sepatutnya bermesejkan takut semata-mata.

Penerbitan kisah seram telah lama membanjiri pembaca mahupun penonton tv dan juga pawagam. Sampailah suatu ketika Kementerian Penerangan mengharamkan tema seperti ini dan diterima kembali apabila bertukar Menteri Penerangan dengan beberapa garis panduan dan syarat yang diwartakan kepada para penerbit filem ataupun drama untuk genre seperti ini.

Setelah melihat kejayaan negara-negara luar khususnya Asia membawa konsep seram dengan berjaya dan lebih berkesan sebagai contoh JU-ON benar-benar membuatkan para penonton meroyan ketakutan. Bangkit anak Melayu membawa genre seperti ini dengan tajuk Jangan Pandang Belakang yang aku kira filem no 1 paling seram setakat ini telah membuka mata banyak pihak.

Kini, muncul siri tv Keliwon, paparan kisah seram setiap minggu malam jumaat di TV3. Menarik walaupun sejak akhir-akhir ini agak merapu sikit. Apa yang dikesalkan ialah mengabaikan elemen budaya melayu dalam drama ini. Sebagai contoh yang paling ketara ialah mengapa setiap hampir kesemua siri Keliwon ini tingkap rumah terbuka di waktu malam walaupun di waktu hujan? Sedangkan adalah menjadi tradisi orang-orang Melayu akan menutup tingkap rumah-rumah mereka apabila masuknya waktu Maghrib.

Ah… mungkin producer, pengarah atau penulis skrip ini bersahaja membuat gimik? Atau tak tahu budaya Melayu? Kemungkinan semua krew yang menjayakan siri tv ini kepanasan disebabkan rumah kampung takde kipas dalam umah kot. Bagi aku, dengan mengabaikan ciri-ciri seperti ini walaupun ianya nampak remeh tetapi cukup untuk menghina bangsa Melayu. Oii… sensitif tu! Alasan orang tua-tua ( yang di pandang ringan ) “kang nyamuk masuk umah!”

Tags: , ,

Baran bukan sekadar nama

Posted in komik Baran on July 23rd, 2009 by webmaster
hafiz aka BatmanBegin

hafiz aka BatmanBegins

Sebagai seorang komik artis wajib bagi diri mereka punya daya imajinasi dan tahap kepekaan yang tinggi terhadap apa yang ada disekeliling mereka kerana semua elemen itu akan mereka terjemahkan di dalam canvas mereka. Karya yang hebat pasti akan ditatap lama oleh setiap mata yang memerhati. Dinilai mahupun dikritik. Dari situlah si pelukis akan membina prestasinya sendiri untuk melangkah lebih maju.

Terima kasih kepada Hafiz yang juga dikenali BatmanBegins dalam komuniti Pergh.com kerana mengendalikan proses dan urusan komik Baran selama lebih 2 tahun. Dia juga merupakan pelukis komik di dalam slot komik di akhbar Utusan Malaysia.

Tags: , , ,

Baran Membara lebih 2 Tahun

Posted in komik Baran on July 22nd, 2009 by webmaster
komik baran ini mula diterbitkan pada 7 April 2007

komik baran ini mula diterbitkan pada 7 April 2007

Sejak kecil lagi aku mendapatkan rujukan hanya cebisan suratkhabar yang jarang sangat beli. Berlandaskan minat dan hobi kepada kartun dan juga komik ruangan kartun dan komik inilah menjadi medan permulaan era kerjaya aku. Dengan mengenali generasi terawal ketika tu ‘lineup’ kartunis-kartunis yang sememangnye tersohor telah memberi inspirasi dalam jiwa aku untuk aku bergelar pelukis komik sekarang ini.

Langkah ini lebih luas setelah menjejakkan kaki di ibukota mencari pengalaman lebih 12 tahun. Peluang sentiasa datang walaupun ada yang ‘mudah pergi’. Namun yang hilang tetap akan berganti walaupun tidak dengan kena atau sesuai dengan selera citarasa sendiri.

Memperluaskan rangkaian kawan merupakan perkara penting untuk maju. Hasil bantuan sahabat-sahabat dapatlah aku memasuki slot komik di Utusan Malaysia setiap sabtu yang kebetulan akan kosong ketika itu. Setelah menghantar sample 4 mukasurat komik akhirnya komik Baran mula diterbitkan pada 7hb April 2007 sehingga kini. Baran berkisar tentang kisah kehidupan seorang pengamal ilmu hitam dan konflik masyarakat hari ini. Lokasi kisah ini sekitar beberapa buah kampung di dalam daerah Muar yang kini telah dikenali daerah Ledang sebuah daerah baru di negeri Johor.

antara watak sebenar di dalam komik baran

antara watak sebenar di dalam komik baran

Sepanjang menghasilkan komik ini hanya bermain dengan imajinasi semata-mata. Sejauhmana kita boleh berimajinasi? Tentunya idea, fokus dan akal fikiran pasti terbatas tanpa mencari alternatif lain untuk dijadikan bahan rujukan. Adalah perlu dan amat berbaloi sekiranya mengambil sebahgian disekeliling kita untuk dijadikan bahan. Dalam komik Baran ini penduduk kampung adalah sebahagian daripada mereka adalah rakan sepermainan sejak kecil merupakan watak-watak pendukung komik ini sempena lokasi Kampung Serom 5 Hulu yang menjadi lokasi pilihan.

Pawang vs Pawang

Pawang vs Pawang

Hakikatnya manusia pengamal ilmu seperti ini tidak akan merasakan diri mereka hebat selagi mana tidak bertemu buku dengan ruas. Ilmu yang dipelajari dan yang diamalkan selama ini akan teruji kehebatannya dengan berentap dengan pengamal ilmu yang berbeza arus haluan. Dalam komik ini tidak ketinggalan untuk mengupas isu seperti ini. Niat dan mesej komik ini bukan hendak menggalakkan masyarakat di luar sana untuk bertindak negatif mahupun ghairah mempelajari ilmu seperti ini. Pelukis mengajak agar masyarakat di luar sana agar hidup dengan penuh toleransi dan bersikap terbuka tiada prasangka negatif sejajar dengan Syariat Islam. Tinggalkanlah ilmu yang tidak berfaedah binalah kehidupan yang harmoni dalam masyarakat.

Tags: , ,

Jiwa dalam komik

Posted in Jiwa Pedang on July 21st, 2009 by webmaster

peringkat proses menghasilkan mukasurat komik

Melukis komik bukan semudah apa yang di kata, salah haluan, salah cara dan gaya pasti akan tersasar pasti juga sia-sia. Kepayahan dalam menghasilkan komik banyak peringkat. Bergantung juga si individu itu, sejauhmana ilmunya dalam asas lukisan, asas senireka dan juga asas penulisan. Kualiti juga bergantung pada pelbagai faktor, contohnya harga. Harga sekeping/semuka komik amat memainkan peranan dalam membentuk sesuatu nilai komik itu. Lagi tinggi harganya lagi susah untuk dihasilkannya.

Faktor utama yang menjadi daya tarikan sesuatu komik itu ialah unsur ‘jiwa dalam komik’. Apa itu jiwa? Perlukah ada jiwa di dalam komik? Macam mana nak boh jiwa ni? Kadang-kadang tak terjawab juga soalan ini. Tetapi jika si pelukis itu melukis dengan sepenuh jiwa, tumpuannya, dan sememangnya RnD yang dibangunkan selama ini betul-betul teliti baik dari senireka mahupun penulisannya maka secara tidak langsung akan lahir jiwa dalam karyanya. Bukan bermakna letak tajuk ‘Jiwa Pedang’ sudah punya jiwa, tidak ya.

Tags:

Jiwa Pedang Bangkit Setelah Tersungkur

Posted in Jiwa Pedang on July 20th, 2009 by webmaster
Jiwa Pedang

Jiwa Pedang

Terpanggil untuk memartabatkan komik Malaysia dan juga pelawaan daripada seorang sahabat lama maka lahirlah semula komik Jiwa Pedang yang pernah aku hasilkan suatu masa dahulu. Jiwa Pedang telah digarap sebaik mungkin plotnya dahulu setelah di minta oleh seorang editor majalah komik untuk dipanjangkan lagi ’storyline’ serta skripnya. Dalam prosesnya yang agak kosisten ketika itu, lalu berlaku satu kejadian tanpa diingini telah berlaku sekaligus membantut serta memupuskan semangat untuk meneruskannya.

Terfikir juga, sampai bila rentak dan karenah setiap publisher akan kecundang dan putus harapan untuk melihat komik berjaya diterbitkan. Sekiranya perkara ini terus berlaku, maka bagaimana pelukis komik mahu berdiri malah jauh sekali akan berjaya. Dan beberapa faktor lain menyumbang kejatuhan para publisher komik di luar sana. Rasanya kurang enak dibicarakan di sini.

Kini, usaha untuk melihat pelukis komik terus berkarya tetap kelihatan. Malah, pelukis generasi baru sentiasa wujud dan ada di antara mereka yang sangat produktif. Dengan publisher terus memberikan kepecayaan kepada pengkarya insyaallah diharapkan usaha ini akan berpanjangan.

Kini Jiwa Pedang bernafas lagi dalam versi online serta ada beberapa rombakan cerita dan watak untuk tidak terlalu ketara dengan yang lepas. Kemunculan komik ini adalah merupakan peristiwa selepas tamatnya bencana yang berlaku di Kota Pedang.

komik Jiwa Pedang yang diberi nafas baru

komik Jiwa Pedang yang diberi nafas baru

Setakat ini plot masih berkisar seisi pengenalan dan sejauhmana perjalanan mahupun kesudahan konflik komik ini ianya masih mustahil lagi untuk diperbincangkan.

Tags: , ,

Selamat Datang ke KomikAjif.com

Posted in Sembang KomikCafe on July 14th, 2009 by webmaster

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kaki komik khususnya di Malaysia ini.

Bagi penggemar-penggemar komik tempatan dan juga peminat, pemerhati serta penyokong pelukis muda seperti MF Ajif ini sentiasa menantikan karya terbaru daripadanya. InsyaAllah, laman ini akan menyajikan apa yang terdaya disampaikan khas untuk anda semua.

Semoga sokongan yang berterusan akan menjayakan laman ini sampai bila-bila.

Tags: ,